Wednesday, September 23, 2015

DAN TUHANMU, BESARKANLAH!




It has been quite sometime since I last posted something here. After so long, it feels like a stranger to write here. The air is now different. I can say almost everything is now different, peculiar and unfimiliar. Tetibe.

English terus!

As quoted,

“Setiap urusan ada masa-masanya”


Boleh jadi kadang-kadang Allah swt dengan penuh sifat RahmatNya mentakdirkan kita sekeping masa, sekelumit waktu daripada baki hidup yang penuh dengan harapan ini untuk bersendiri, bermuhasabah dan bertafakur. Menyepi dan menyendiri bukan bermakna berundur. Akan tetapi ia adalah proses mengumpulkan kekuatan dan bekalan untuk kembali tampil dengan semangat, kefahaman dan harapan baru!

Itulah mungkin yang boleh dikatakan. Sudah hampir bahkan sepurnama lebih paparan alam maya ini sunyi daripada khabar  berita.


Sedikit tadabur, mengenangkan perayaan Idul Adha yang bakal menjenguk kita buat sekelian kalinya insya Allah.


لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنْكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ


Daging-daging haiwan korban dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.
Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu.
Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.
(Al Hajj :37)

---


Allah swt memang menggesa kita mencari jalan, wasilah untuk mendekatkan diri kita kepadanya sebagaimana yang difirmankan-Nya dalam ayat ke 35 surah al Maidah, (rujuk 5:35). Adapun begitu, wasilah ini mestilah selari dengan apa yang disampaikan oleh ar Rasul Muhammad saw.  Antara wasilahnya ialah dengan melakukan ibadah qorban.

Bahkan qorban dari segi bahasa bermaksud qarib, yakni dekat. Ia merupakan satu ibadah dalam usaha mendekatkan diri hamba yang melakukan ibadah qorban kepada Allah swt. Ia bukan sekadar sebuah pesta menyembelih haiwan ternakan, berkenduri dan bertanding siapa yang lebih banyak bahagian qorbannya.

Dek kemerosotan ekonomi yang meruncing ini, pasti ramai yang tidak mampu untuk melakukan ibadah ini dan terpaksa berputih mata. Dengan harga bahagian korban yang perlu disempurnakan meningkat saban tahun, bukan tak ramai yang terpaksa menangguhkan dahulu hajat mereka. Tidak mengapa. Sungguh, Allah swt, tidak ada yang dapat menandingi keadilan-Nya. Kerana Allah nyatakan, bukan daging mahupun darah haiwan yang sampai kepada Allah swt, akan tetapi ketaqwaan.

Jika tidak berkemampuan berkorban dari sudut ini, maka marilah kita cari wasilah lain untuk mendekati Allah swt. Asalkan berbasiskan ketaqwaan kepada Allah swt.


Berkorban untuk agama yang indah ini dari segi masanya, tenaga, buah fikiran dan lain lain juga merupakan wasilah untuk mencari keredhaan Allah. Idul adha yang bakal kunjung dua hari lagi merupakan satu teguran dan peringatan untuk kita melihat pengorbanan kita dalam menegakkannya ad deen ini. 10 Zulhijjah saban tahun dan hari hari tasyriq yang mengirinya merupakan momen yang baik untuk kita semua, terlebih utama mereka yang menamakan diri mereka duat ila Llah untuk merenung dan menghisab diri sendiri, dalam rangka melihat sejauh mana pengorbanan dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah telah kita lakukan?


Peluang dan ruang untuk melakukan pengorbanan sebenarnya peluang yang Allah swt buka seluas-luasnya untuk kita mengagung dan membesarkan Allah swt. Bukan peluang beramal lantas merasa bangga, ujub dan takabur terhadap diri sendiri! Tidak sama sekali. Akan tetapi nikmat hidayah yang disuluhkan kepada kita membutuhkan kita untuk terus menerus membesarkan Allah swt dalam hidup kita. Membesarkan Allah swt melebihi diri sendiri, kerjaya, keluarga bahkan apa sahaja yang kita temui di persimpangan hidup ini.

Para ulamak tafsir ada yang bersetuju bahawa kelompok ayat kedua yang diturunkan kepada ar Rasul saw setelah surah al Alaq ayat 1 hingga 5 ialah surah al Mudathir dari ayat pertama hingga ayat ke tujuh. Dalam kelompok ayat ini, ia dibahagikan kepada tiga kluster atau komponen (seruan, arahan berdakwah dan persiapan-persiapan dakwah).

Ayat ketiga memulakan persiapan yang perlu dilakukan oleh Rasulullah saw dan mereka yang mengikuti baginda.

Persiapan pertama ialah,

“Dan Tuhanmu, besarkanlah!”

Warabbaka, fakabbir


Dari sudut bahasa Arab, ayat ini dibawakan dalam bentuk songsang atau pasif, kerana maf’ulu bih, yakni entiti yang diperlakukan (dibesarkan) ke atasnya berada di pangkal ayat, dalam kes ini ialah ‘Rabbaka’. Maka, ia membawa maksud extra daripada terjemahan semata-mata. Ia bukan sekadar bermaksud, dan Tuhanmu, besarkanlah.

Akan tetapi lebih intense, mendalam dan tinggi zouqnya.

Ia seolah-olah menggesa Rasulullah saw dengan suruhan;

Dan Tuhanmu, hanya Tuhanmu, besarkanlah! Bukannya benda lain, hanya Tuhanmu. Hanya Allah swt yang wajar dibesarkan, no satu, datang mendahului perkara-perkara lain. Tatkala para duat memahami ayat ini dan mengaplikasi dalam hidup mereka, maka dakwah akan kelihatan mudah, mudah terlaksana meskipun ada waktu waktunya ia sangat berat dan meresahkan jiwa. Akan tetapi, tatkala Allah swt telah dibesrakan, yang berat terasa ringan. Yang susah teras senang. Yang meresahan terasa mendamaikan. Begitulah!

Untuk kita para duat pula, di Idul Adha ini, sejauh mana telah kita besarkan Allah swt dalam hidup kita? Bolehkah kita tunduk di hadapan hukum Allah ? Tunduk dan patuh pada perancangan dakwah? Tunduk untuk meninggikan firman firman Allah ? Tidak menghiraukan sebarang kesulitan di jalan dakwah kerana Allah telah kita besarkan ?

Sudahkah kita sampai ke tahap ini?

Sungguh berat bukan!

Akan tetapi, ia adalah khabar gembira buat orang yang berbuat baik. Ia terasa indah, tenang dan berita yang dinantikan oleh orang-orang yang bersangatan dalam berbuat baik, bagi orang yang jiwa dan seluruh kehidupan mereka sinonim dengan kebaikan. Khabar gembira bahawa yang sampai kepada Allah adalah ketaqwaan. Maka pengorbanan dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah terbuka luas untuk kesemua hamba-Nya.


Akhi Fillah,

Terasa sangat dekat bukan ayat ini dengan kita? Begitulah al Quran, sentiasa kena dengan kondisi para duat, kapan pun kita membaca dan merenungnya. Kita tidak pernah bosan dengan interaksi interaksi kita dengan al Quran. Kita sentiasa ternanti-nanti dengan kefahaman kefahaman baharu yang Allah bakal kurniakan.

Cumanya, entah bilakah kita akan beramal dengannya?

Salam Idul Adha 1436