Sunday, May 14, 2017

MENGEMBALIKAN LEGASI MURABBI





Terdapat sebilangan ayat Quran yang menceritakan tentang kebangkitan dan kedatangan sosok Rasulullah kepada sesuatu kaum untuk melakukan kerja-kerja tarbiyah. Pada sebilangan ayat ini, sosok seorang Rasul sebagai seorang murabbi diketengahkan. Namun, pada sebilangan ayat ini, Allah sering menggunakan perkataan fiikum (kepada mereka) atau minkum (daripada mereka) yang menggambarkan dari mana dan bagaimana seorang rasul itu didatangkan.

Sebilangan ayat ini boleh kita rujuk pada Surah Jumuah ayat 2, Surah al-Baqarah ayat 151,129 dan di sekian tempat yang lain. Perkataan-perkataan yang dibawa ini menghubungkan kedatangan seorang Rasul secara fizikal dan luaran.

Tetapi tidak pada satu ayat ini. Dalam satu ayat yang kita bakal bahaskan ini insya Allah, ungkapan yang dibawa oleh al-Quran sedikit berbeza. Ungkapan dibangkitkan seorang Rasul dengan sifat-sifat terpuji, halus dan mendalam, dijelaskan secara terperinci.

Lebih menarik, ungkapan yang halus dan mendalam ini ada pada surah At-Taubah, surah yang mengilhamkan kita betapa Allah bersikap keras terhadap orang munafik sehingga tidak dimulai dengan basamalah. Surah yang menggambarkan bagaimana kisah segelintir sahabat yang berbelah bagi dalam menyikapi arahan Rasulullah. Surah yang menyaksikan peristiwa pelanggaran disiplin dan iqob (hukuman) oleh jemaah muslim kepada anggotanya.

Pendek kata dalam surah at-Taubah ini perbicaraannya agak keras dan kasar, tegas dan tiada kompromi. Tetapi ditutupi dengan satu ayat yang penuh menginspirasi, berkenaan sosok seorang Rasul justeru seorang murabbi umat..


Ungkap Sayyid Quttb,


Dalam ayat ini Allah tidak mengatakan “telah datang seorang dari dari kamu (minkum)” malah Ia mengatakan “dari (kalangan) diri kamu”  (min anfusikum) kerana ungkapan ini lebih peka dan lebih mendalam hubungannya serta lebih memperlihatkan semacam hubungan yang rapat yang mengikat mereka dengan beliau, iaitu beliau adalah sebahagian dari diri mereka yang mempunyai hubungan jiwa yang lebih mendalam dan lebih peka.
Berikut ialah ayat yang dimaksudkan;





Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.
(At-Taubah :128)


Sekali lagi kita mengambil buah fikiran serta fiqh dakwah yang diungkapkan oleh Sayyid Qutb melalui penfasiran Quran, fi zilalil Quran.

Suatu pandangan yang cukup halus dan mengesankan jiwa. Menceritakan  bagaimana sepatutnya menjadi satu sosok murabbi. Murabbi tidak sekadar datang mengelola  halaqah seminggu sekali dan kemudian bertemu pada pertemuan minggu berikutnya. Ternyata bukan.


Murabbi bukan sekadar datang seacara fizikal, bertanya khabar seputar kehidupan anak binaanynya lalu dia pun berlalu pergi. Dia bukan sekadar sebahagian daripada anak binaan kerana di sana ada hubungan hubungan lain seperti hubungan tinggal setempat, hubungan pelajaran senior dan junior, hubungan cikgu dan guru mahupun hubungan rakan sejawatan.


Tidak. Ternyata.


Lalu siapakah murabbi?


Pada hemah kami yang terbatas ini;


Murabbi ialah seorang dalam serba kekurangan dia datang memenuhi kebutuhan binaan dan diri sendiri. Meskipun ilmu tidak memenuhi dada, lidah tidak fasih membacakan ayat ayat cinta dan ibadah pun sering terkurang di sini dan sana, namun dek kerana sekelumit kefahaman dia gagahi jua

Kadang-kadang kejujurannya di salah erti. Niat baiknya sering disalah tafsir dan pengorbanan pengorbanannya sering kali dipandang sepi tetapi kerana cinta kepada yang maha Esa, dia tidak peduli. Dia tidak mengharapkan ucapan syukur dan penghargaan kerana dia tahu tugas kemurabian yang dia imani itu untuk manfaat dirinya sendiri, kurniaan Rahmat yang Allah limpahkan dalam hidup dia.

Dia bukan sekadar hadir melafazkan hadis sahih mahupun memeriksa amal dan membacakan ayat ayat Quran. Ada kala ia menjadi telinga yang mendengar, penggera yang mengejutkan subuh, pakar motivasi, mesin ATM, tukang masak, mekanik, tukang sapu, perancang kewangan, konsultan kerjaya dan sebagainya...

Tetapi akhirnya, murabbi itu seorang manusia. Yang makan nasi dan berjalan jalan di pasar, yang tidak mampu membaca masa depan mahupun mendapatkan berita dari langit. Sering kali dia juga jatuh, luka, lesu dan futur.

Hanya sahaja rahmat Allah masih sudi menyapanya.

Kalaulah dunia yang menjadi neraca, nescaya sudah lama dia tinggalkan semua ini. Tetapi unta-unta merah yang dijanjikan oleh ar Rasul uswahnya sering kali menjadi penguat di hati. Kecintaannya pada umat ini sentiasa hangat dan menjadi motivasi dalaman buat dia. Kerinduan kepada syurga dan khazanahnya yang dijanjikan oleh al-Quran membuatkan dia ternanti-nanti untuk kembali ke pangkuan Tuhannya dengan sebaik-baik amal.

Begitulah yang kami diajarkan tentang seorang murabbi.

Keseluruhan fikirannya berlegar sekitar mutarabbinya, binaannya.

Dia mengharapkan segala bentuk infaq yang diberikan, ilmu yang tercurah dalam lapangan tarbiyah dan produk binaan yang soleh seterusnya yang akan mendoakan ruhnya setelah menetap di alam kubur nanti menjadi benteng dari segala bentuk siksaan.
 

Semoga dikau terus tegar berlari, meskipun dari ujang kota yang jauh untuk membacakan firman Allah itu.


Alangkah indahnya.

Jadi mengapa tidak saudaraku, mengapa tidak kita mengupayakan diri untuk menjadi seorang murabbi?

Mari kembalikan sosok kemurabbian itu, yang menjadikan dakwah dan tarbiyah nafas dan nadinya.

No comments: